Author: Fatin Syaza

  • Merentas Masa dengan May Terpasung di Lorong Waktu

    Adakah anda suka baca fiksyen yang ada elemen merentas masa? Jika ya, anda ada satu point pertama untuk anda suka dengan novel May: Terpasung di Lorong Waktu oleh Rozanna, ini.

    Saya sendiri tertarik dengan novel ini kerana elemen merentas masa itulah! Sungguh amat saya gemari fiksyen yang begini. Tetapi ada lagi yang menyebabkan saya terus membeli novel ini tanpa ragu-ragu. Pertama, kerana bahasa yang digunakan bukan yang biasa digunakan dalam novel bergenre fantasi. Sebaliknya, penulis menggunakan lenggok bahasa yang amat indah. Sejurus membaca, saya terbayangkan HAMKA! Kedua, saya menggemari kebanyakan buku yang diterbitkan oleh Jejak Tarbiah dan JIWA.

    Cuma ada perkara yang membuatkan saya gagal beri May – 5 bintang. Sebaliknya, saya hanya mampu menyediakan rating sebanyak 3 per 5 bintang sahaja.

    Mengapa? Itulah yang saya mahu kupas dalam posting ini.

    Novel ini menceritakan tentang percintaan yang berlaku di antara Adli atau Bujang, seorang lelaki Melayu dengan May, seorang gadis berbangsa Cina. Latar cerita ialah di Negeri Sembilan atau lebih spesifik – kawasan Johol dan sekitar. Kisah dalam novel ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu pada tahun 1960-an dan 2019. Adli dikatakan melalui siri penyesalan dengan May sehingga mengakibatkan persahabatannya dengan seorang sahabat lelakinya yang berbangsa Cina turut musnah.

    Pada suatu hari, Adli mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halamannya. Namun, keputusan tersebut telah membawanya kembali ke zaman silam. Plot bermula apabila Adli terpaksa membuat pilihan sama ada betulkan kesilapannya atau berdamai dengan takdir.

    Jalan cerita May ini pada awalnya adalah sangat menarik. Tetapi saya ambil masa yang lama untuk habiskan novel ini kerana ia sangat membosankan! Tajuk novel ini ialah May tapi cerita banyak berkisar tentang Adli sahaja. Lebih baik beri nama Adli: Terpasung di Lorong Waktu?

    Selain itu, bahasa yang digunakan menambahkan lagi elemen bosan. Penulisannya kelihatan seperti memaksa untuk kekal dengan lenggok bahasa yang puitis. Di samping itu, dalam jalan cerita – hampir semua situasi berlaku dalam keadaan hujan!

    Kenapa? Adakah sebab mahu kelihatan lebih sedih? Saya tak pasti. Namun, saya tak dapat nak hayati kisah percintaan tragik ini dengan lebih mendalam. Apa yang saya nampak hanyalah kisah percintaan yang hampir memualkan. Kalau saja tidak ada elemen kesopanan dan ketatasusilaan antara Adli dan May, novel ini sama sahaja dengan novel lain yang bergenre romantik atau romantasi.

    Walaubagaimanapun, memikirkan bahawa penceritaan ini dihasilkan ketika penulis berusia 15 tahun – saya meletakkan garis sempadan yang menyebabkan saya bersetuju bahawa karya ini ialah karya yang baik. Sesuai dengan umur penulisnya di ketika itu. Jika saya berusia begitu, saya tidak mampu hasilkan karya sebaik ini.

    Dari segi ending, novel ini menyediakan ending yang sedih. Saya terbayangkan lagu Seribu Tahun oleh Imran Ajmain apabila sampai ke ending-nya. Saya setuju sekiranya novel ini di angkat ke layar perak dengan sentuhan yang lebih sesuai untuk filem.

    Dalam May, penulis memasukkan peristiwa berdarah yang berlaku di Malaysia pada tahun 1969 – situasi tegang antara bangsa Melayu dan Cina. Peristiwa ini menjadikan plot semakin menarik!

    Secara umum, saya memberikan rating 3 daripada 5 bintang untuk May: Terpasung di Lorong Waktu oleh Rozanna. Anda boleh cuba membacanya dan kongsikan review anda dengan saya di ruangan komen.

  • Hello world!

    Welcome to WordPress. This is your first post. Edit or delete it, then start writing!